Isnin, 12 Julai 2010

Pengusaha Burung Walit Diminta Bersedia Patuhi Garis Panduan - Noh


Pengusaha burung walit diminta patuhi peraturan pemiliharaan ternakan mereka. FotoBERNAMA: Mohd Johari Ibrahim
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Pengusaha industri ternakan burung walit di seluruh negara dikehendaki bersedia untuk mendaftar kegiatan mereka setelah garis panduan bagi mengawalselia industri itu diluluskan jemaah menteri Jumaat lepas, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Ini kerana, katanya, Garis Panduan (1GP) Industri Burung Walit Negara itu akan dikuatkuasakan tidak lama lagi, iaitu selepas ia dibentangkan pada mesyuarat Majlis Negara mengenai Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Garis panduan yang pertama di dunia ini akan membolehkan lebih 50,000 premis rumah burung di negara ini didaftarkan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan terbabit.

Ia juga akan digunapakai di Sabah dan Sarawak.

Antara lain, bertujuan untuk mengatasi masalah bau, bunyi dan risiko penyakit selain memastikan pembangunan industri itu, yang dianggar bernilai RM1 bilion, berlaku secara holistik (teratur).

"Hari ini kita nak maklumkan kepada pengusaha burung walit bahawa mereka perlu bersedia (untuk mendaftar). Mereka kini boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai peraturan baru daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebab kita tidak mahu nanti bila kita terus menguatkuasakannya mereka jadi kelam kabut dan tidak bersedia," katanya pada sidang akhbar mengenai panduan dan peraturan burung walit pada hari Isnin.

Menurut Noh, garis panduan tersebut perlu dibincangkan dahulu dalam mesyuarat itu agar ia tidak menyebabkan pengusaha burung walit berasa tidak selesa.

"Perkara ni dah berpuluh tahun berjalan kemudian kita nak buat peraturan baru... jadi tentulah orang yang lama terlibat dalam industri mungkin rasa macam ada gangguan dan kurang selesa.

"Sebab mereka dah buat perkara dah berpuluh tahun tiba-tiba kita kata itu tak boleh buat dan ini tak boleh buat...jadi kita tak mahu akhirnya peraturan ini nanti akhirnya menyusahkan rakyat," katanya.

Bagi tujuan pendaftaran premis burung walit di seluruh negara, JPV membangunkan sistem pendaftaran premis penternakan itu melalui laman web burungwalit.com.my.

"Laman web ini boleh diakses bermula hari ini," kata Noh.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan